Monday, November 1, 2010

KEMATIAN(i luv islam.com)


Dalam banyak perkara, saya melihat secara umumnya manusia takut untuk mati. Saya juga tidak terkecuali. Jangan tersalah anggap, saya tidak mengatakan bahawa takut mati itu tidak baik. Ia baik kerana dengan rasa takut ini, kita lebih terdidik untuk menghargai. Menghargai diri sendiri dan orang lain.

Dalam Islam sendiri, Allah melarang hamba-Nya daripada memutuskan nyawa (bunuh diri) dan membunuh orang lain tanpa sebab yang dibenarkan. Ini jelas menunjukkan Islam sangat memelihara keselamatan jiwa makhluknya baik manusia juga binatang serta tumbuh-tumbuhan.

Tapi dalam masa kita takut mati, saya memerhatikan bahawa tidak ramai manusia yang takut untuk masuk neraka. Pelik, tapi ia reliti kehidupan. Manusia takut mati, tapi tidak takut jika dihumbankan ke dalam neraka.

Mengapa saya berkata begitu?

Bukankah dalam Islam, perkiraannya mudah. Jika kita mahu ke syurga yang penuh dengan nikmat, kita harus taat kepada Allah. Sebaliknya jika mahu ke neraka yang penuh dengan sengsara, maka kita tidak perlulah mengikuti garis panduan dan ketetapan-Nya. As simple as that.

Falsafah Kematian

Dalam menyelami falsafah kematian, ulama-ulama telah menerangkan bahawa mati itu ialah suatu proses perpindahan manusia, dari satu alam kepada alam yang lain. Lebih tepat, dari alam dunia kepada alam barzakh sebelum berangkat ke alam akhirat.

Benar, kematian itu jelas. Setiap yang bernyawa ada jangka hayatnya. Macam roti, ada expirednya. Tapi neraka itu juga realiti, benar, dan sahih. Neraka juga wujud, seperti kematian.

Bukan kisah dongeng, tapi benar. Ia pasti benar.

Persoalan

Mengapa Tuhan ciptakan neraka, jika benar Tuhan itu Pengampun, Pengasih dan Penyayang?

Maka, disini kita harus melihat sifat Allah Yang Maha Adil. Di sinilah keadilan Allah. Dia menciptakan syurga serta neraka. Bagi hamba yang baik, tempatnya syurga tapi bagi hamba yang jahat, nerakalah destinasinya.

Apa pernah kita dengar bahawa penghuni syurga itu orang zalim? Yang merasuah, membunuh, menganiaya, merogol, mencuri, merompak, derhaka atau yang suka mencarut serta bercakap kasar?

Tidak! Bahkan penghuni syurga itu sifatnya pemaaf, berbudi bahasa, baik tutur kata, bertanggungjawab, penyayang, lemah lembut, amanah dan lain-lain. Semuanya sifat yang baik-baik.

Baik kepada siapa?

Adakah kebaikan ahli syurga ini menguntungkan Tuhan? Oh, sama sekali tidak! Allah sama sekali tidak berharap dan memerlukan (bergantung) kepada makhluk, sebaliknya makhluk yang memerlukan Allah. Dan kebaikan ahli syurga ini tidak lain adalah menguntungkan makhluk juga terutamanya manusia.

Maka, yang selalu kita baca di dada akhbar ialah orang jahatlah yang selalunya mencuri atau buat jenayah. Tidak dinafikan, dalam kes-kes terpencil ada juga melibatkan orang bertudung labuh seperti kes pelajar sekolah agama buang bayi, tapi itu sangat terpencil.

Takut kepada neraka, apa kesannya?

Kita akan takut untuk berbuat amalan ahli neraka. Itu pasti. Amalan ahli neraka semuanya buruk-buruk belaka. Adakah dengan meninggalkan amalan ahli neraka akan menguntungkan Allah? Tidak! Sebaliknya yang untung ialah diri anda sendiri. Anda tidak akan dibenci, diburu polis, dirundum tekanan perasaan, dihantui rasa kesal dan paling nyata, jika anda seorang pendosa yang tak kenal erti taubat, anda tidak akan pernah merasa tenang walau sesaat dalam hidup.

Takut mati dan takut ke neraka, mana yang lebih utama?

Jika takut mati, maka yakinlah firman Allah dalam surah Al-Munafikun ayat 11:

"Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang apabila sampai ajalnya"

Mati, sakitnya sebentar. Nazak atau sakit sakaratul maut, tidak sampai bertahun. Tapi jika sudah menjadi ahli neraka, takkan sekajap. Pasti bertahun diseksa.

Sakit mati, semua makhluk merasakannya termasuklah nabi dan rasul serta orang soleh. Semua 'menikmati' kesakitan yang hampir sama, tapi azab neraka cuma disediakan untuk VVIP sahaja, iaitu orang yang tidak bertaubat atas segala dosanya.

Takut mati kedudukannya lebih rendah daripada takut ke neraka. Kerana jika telah sampai seruan jihad al-qital, maka takut neraka akan mengatasi takut mati. Dengan itu, gugurlah para syuhada' yang dijamin tempatnya di dalam syurga. Takut mati, perlu tapi takut ke neraka adalah berkali-kali lebih perlu!

No comments:

Post a Comment